Makyung





Teater Tradisional Makyung

Teater tradisional Melayu mencerminkan kepelbagaian warisan budaya orang Melayu dalam konteks budaya serantau Dunia Melayu Lama. [(Mohamed Ghouse (2000: xiv)]. Makyung ialah teater yang menggabungkan unsur-unsur tari, muzik dan dialog yang hanya terdapat di Kelantan [(Mohamed Ghouse (2000: xiv)].
Makyung digambarkan sebagai sebuah dramatari yang halus dan penuh kegemilangan. Menurut sejarah, Makyung lahir di Istana Melayu Patani kira-kira 400 tahun yang lampau dan kemudian ia merebak ke Kelantan. Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu Jld. 3 M-Q (1999 : 1433) mengaitkannya dengan hiburan bagi permaisuri dan puteri-puteri raja pada masa dahulu.

Setiap watak dalam Makyung mempunyai nama khas dan mempunyai pakaian lengkap yang tersendiri. Pakaian yang dipakai melambangkan watak yang dimainkan oleh setiap pelakon. Watak-watak penting dalam sebuah cerita Makyung ialah Pakyung yang juga menjadi raja atau pemerintah dan menjadi tulang belakang sesebuah cerita. Pakyung Muda pula adalah watak utama atau hero dalam cerita Makyung. [(Ensiklopedia Dunia Melayu (1997: 104-105)].

Persembahan Makyung diadakan terutamanya selepas menuai padi, sebagai tanda kesyukuran. Ada juga dimainkan untuk acara memuja semangat seperti semah kampung. Makyung juga dipersembahkan di majlis perkahwinan, puja umur sultan, dan hari kebesaran negeri. Oleh itu apabila diperhatikan dengan mendalam teater tradisional Melayu, secara tidak langsung kita akan dapat menghayati tentang sistem kepercayaan, nilai-nilai dan norma juga sistem adat resam mereka. [(Mohd Ghazali Abdullah (1995:vi)]. Aspek spiritual Makyung pula termasuk muzik dan tarian juga digunakan dalam upacara memulih semangat, sejak zaman dahulu dan masih wujud hingga kini. Manakala persembahan Makyung berniat atau main puteri merupakan contoh aspek pengubatan dalam teater tradisi. [(Mohamed Ghouse Nasuruddin (1994: 33-34)].

1.5 TINJAUAN PENULISAN TENTANG MAKYUNG

 
Penulisan berkenaan Seni Lagu dan Permainan Tradisi Asmad (1990) Seni Lagu dan Permainan Tradisi, Siri Bunga Rampai kebudayaan Malaysia’ merupakan satu gambaran ringkas tentang teater tradisional Makyung. Beliau menghuraikan bahawa seni Makyung ialah sejenis lakonan dan tarian kesenian daerah khususunya di negeri Kelantan. Mengikut sejarah, Makyung dikatakan suatu seni persembahan istana yang istimewa dengan cara lakonannya tersendiri. Makyung dilakonkan tanpa menggunakan skrip dan berupaya mencuit hati penonton untuk terus menonton.

Penyampaian ceritanya dapat difahami bukan sahaja daripada pergerakan bahkan daripada nyanyian dan juga dialog yang dituturkan. Pada zaman kegemilangannya, Makyung adalah sebuah bentuk kesenian utama yang dipersembahkan di mana-mana sahaja terutama di pesta-pesta budaya rakyat tempatan.

Penulisan William P. Malm (1974) dalam ‘Traditional Drama And Music of Southeast Asia’ bertajuk The Music of The Malaysian Ma’yong membincangkan Makyung sebagai sebuah teater istana dan berkembang sebagai teater rakyat di dalam jangka masa lebih kurang 50 tahun. Pengenalan terhadap Makyung adalah berasaskan pemerhatian selama 3 bulan yang dibuat pada tahun 1968 untuk merekod persembahan teater dan muziknya. Mengikut sejarah, Makyung bermula di selatan Patani (Thailand) seperti yang tercatat oleh Peter Florest: His Voyages to the East Indies in the Globe, 1611-15 – dicatat oleh W.M. Moreland [Hakyuyt Society, 1934] Makyung dinaungi oleh sultan Kelantan sehingga tahun 1930-an. William P. Malm juga ada berbicara mengenai muzik Makyung yang dikatakan mempunyai pengaruh muzik tradisi timur yang bercirikan keislaman di mana para penonton disajikan dengan bunyi campuran muzik ‘Southeast Asia’ dan ‘Pan Islamic Element yang dimulakan dengan muzik instrumental dan diikuti dengan pukulan gendang dan gong mengiringi pelakon masuk ke pentas.

Tan Sri Mubin Sheppard yang menulis “Ma’yong - The Malay Dance Drama,” ‘Traditional Drama And Music of Southeast Asia’ (1974) mengatakan bahawa Makyung adalah satu-satunya dramatari yang dijumpai di Asia yang melibatkan tarian dengan nyanyian, percakapan dan lawak jenaka.
Teater Asia Tenggara ini dipersembahkan di dalam bulatan tanpa latar hias dan tirai dengan menggunakan prop yang sangat minima. Watak tidak memakai kasut. Mengikut sejarah, ia adalah persembahan untuk kerabat diraja Patani (sekarang selatan Thailand) yang telah wujud di Patani beberapa abad dahulu. Ketika itu Patani dikenali sebagai Langkasuka. Makyung mula diperkenalkan di Kelantan kira-kira 200 tahun dahulu sehingga tahun 1920 dan dalam pada itu Tengku Temenggung Abdul Ghafar adalah penaung kira-kira seratus kumpulan primadona di Kota Bharu. Selepas Kelantan bertukar pembesar, kumpulan Makyung keluar dan mencari populariti sendiri di seluruh kerajaan Malaya. Watak-watak utama di dalam persembahan Makyung ialah Raja, Pakyung Muda, Pakyung Tua, Permaisuri dan Puteri yang dipersembahkan oleh wanita dan gadis remaja. Watak-watak utama ini digandingkan dengan inang-inang istana dan dua orang pengasuh lelaki (Peran). Antara cerita yang dipersembahkan ialah Dewa Muda, Dewa Indera-Indera Dewa, Anak Raja Gondang, Bongsu Sakti, Puteri Timun Muda, Raja Tangkai Hati, Raja Muda Lakleng, Rada dua serupa, Raja Muda Lembek dan Gading Bertimang.

Penulisan Hamidah Yaacob (1982) Monograf Perbadanan Muzium Negeri Kelantan II, Beberapa Aspek Hiburan Tradisional Kelantan, Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, Istana Jahar Kota Bharu, Kelantan menyatakan bahawa Makyung sangat terkenal di Kelantan. Menurut orang-orang tua, permainan ini telah ada sebelum Long Yunus memerintah negeri Kelantan lagi. Persembahan Makyung meliputi drama, tarian, nyanyian dan unsur-unsur komedi. Makyung dipersembahkan sebahagian besarnya di istana, iaitu di balai raja. Semua bahagian penting dalam cerita Makyung dilakonkan oleh perempuan.Hanya dua orang lelaki sahaja yang mengambil bahagian dalam cerita itu, iaitu menjadi orang kelakar ’atau orang lawak’. Alat bunyi-bunyian dalam permainan Makyung ialah sebuah rebab, dua buah gendang ibu dan anak, dua buah gong ibu dan anak dan sebatang serunai. Rebab merupakan alat muzik yang paling penting dalam persembahan Makyung kerana ia bertindak sebagai ketua muzik. Pertunjukan Makyung dimulakan dengan upacara menghadap rebab. Pakyung duduk berhadapan dengan pemain rebab dan di belakangnya diikuti oleh permaisuri dan dayang istana. Pakyung menyanyi dan diikuti pula dengan tarian yang beransur kepada bangun dan akhirnya berdiri tegak. Pada tiap-tiap rangkap nyanyian Pakyung tadi disahuti suara latar atau nyanyian beramai-ramai pelakon wanita lain. Dalam setiap lakonan yang hendak dimulakan, sudah menjadi suatu adat bagi Pakyong yang terlebih dahulu memanggil seorang daripada dua ahli lawak (Peran). Panggilan kepada ahli lawak itu ialah ‘awang’. Penampilan Peran yang penuh dengan unsur lawak jenaka berjaya mengenakan Pakyung. Pakyung mula bercerita dengan awang yang kemudiannya memanggil Peran yang kedua untuk berunding. Maka bermulalah cerita dalam Makyung yang turut difahami daripada gerak-geri dan nyanyian.

Patricia Matusky & Tan Sooi Beng (1997) Siri Kebudayaan Asia Tenggara, Muzik Malaysia: Tradisi Klasik Rakyat dan Sinkretik. Sinaran Bros. Sdn. Bhd., Pulau Pinang
menerangkan tentang bentuk seni lakon tradisional yang dikenali dengan nama Makyung. Makyung menggunakan dialog, tarian serta muzik vokal dan instrumental untuk mengisahkan cerita. Penulis meneruskan perbincangan dengan menjelaskan tentang muzik Makyung.
Muzik Makyung dipersembahkan oleh orkestra yang terdiri daripada sepasang gendang, sepasang tetawak dan sebuah rebab tiga tali. Repertoir muzik Makyung terdiri daripada lagu-lagu paluan dan lagu-lagu nyanyian. Lagu-lagu paluan dimainkan untuk beberapa kegiatan tertentu. Lagu Pakyung Turun dikhaskan untuk mengiringi pelakon-pelakon ke atas panggung, lagu Barat biasanya mengiringi perjalanan dalam cerita, dan lagu yang bertajuk Sang atau Penyudah untuk menyudahi sesuatu persembahan. Melodi dalam lagu-lagu Makyung dipersembahkan oleh seorang penyanyi dan pemain alat muzik rebab. Pemain rebab biasanya mengiringi penyanyi itu mempersembahkan melodi-melodi yang kompleks dan berhiasan dalam semua lagu nyanyian di dalam persembahan Makyung.

Mohamed Ghouse Nasuruddin, 1994, Tarian Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka Selangor Darul Ehsan, (halaman 33-66) menyentuh mengenai salah satu unsur yang sangat penting dalam Makyung iaitu tarian yang digunakan dalam keseluruhan persembahan. Penulis juga menerangkan tarian Makyung yang menegaskan pergerakan tangan dan menghuraikan dengan teliti serta menyeluruh mengenai posisi tangan yang digunakan dalam persembahan Makyung. Posisi tangan ini apabila dicantumkan dengan pergerakan badan, kepala dan kaki membentuk tarian Makyung yang mempunyai abjad tari yang meliputi pergerakan duduk dan pergerakan berdiri. Antara contoh tarian yang menarik disebut oleh penulis ialah tarian “Pakyung bekelik dengan Peran” di mana suasana umumnya ialah seperti menyakat – Pakyung cuba menyakat Peran.


Mohamed Ghouse Nasuruddin, 2000, Teater Tradisonal Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur, (halaman 40-60) menerangkan tentang Makyung dan elemen-elemennya, contohnya seperti sejarah perkembangan Makyung dan dari aspek persembahan yang bermula dari pentas, watak-watak, pakaian, latar hias dan cerita-cerita Makyung yang berasaskan legenda tempatan. Penulis juga ada menyentuh tentang lakonan dalam Makyung yang menggunakan aksi persembahan yang menggabungkan unsur-unsur realisme dan bukan realisme. Selain itu, beliau juga membincangkan peranan penting muzik dan tarian dalam Makyung serta struktur persembahannya dan beliau juga ada menyentuh tentang Makyung Kedah yang telah lama luput dan kesinambungannya dengan Makyung Kelantan di dalam buku ini.

Penulisan ilmiah mengenai Makyung oleh Ghulam Sarwar Yousof berjudul ‘The Kelantan Mak Yong Dance Theatre: A Study Of Performance Structure” (1976), menceritakan tentang sejarah, perkembangan secara menyeluruh menyentuh soal ritual, ‘repertoire’ dan tentang struktur persembahan yang tetap di dalam persembahan Makyung. Di dalam buku ‘The Encyclopedia of Malaysia’ (2004) Ghulam Sarwar membincangkan persembahan muzik yang terdapat di dalam Makyung juga Makyung sebagai teater istana. Bermula dengan istana Patani kemudian dibiayai oleh Long Abdul Ghaffar di antara tahun 1923 hingga 1935 di mana persembahan Makyung menjadi begitu cantik, menarik dan cukup mempesonakan. Namun selepas mangkatnya Temenggung Ghaffar ia kembali menjadi teater rakyat.



1.5.1     ULASAN DARI MAJALAH

En. Abdul Aziz H. M. (1985) Dewan Budaya, April berbicara mengenai lagu dalam Makyung kerana melalui lagu serta liriknya, dapat digambarkan cara, sikap, pemikiran, serta falsafah orang-orang dalam masyarakat Melayu tradisi. Penulis turut menyentuh mengenai hubung kait lagu dan ragam manusia di mana dalam lagu, hubungan peribadi manusia dalam masyarakat dapat dilihat melalui nilai kemas, mesra, ikhlas, dan baik, yang dapat dirasai apabila lagu yang disampaikan dihayati dengan betul. Lagu-lagu di dalam Makyung dapat dipecahkan kepada tiga jenis yang berlainan. Contohnya lagu Pakyung turun, Menghadap rebab, Sedayung Makyung adalah terlalu manja dan menyimpan sejarah dan asal usul Makyung. Lagu-lagu Barat Anjung, Barat Cepat, lagu Tuk wak, lagu Sedara mampu menyatakan dengan baik hubungan peribadi sesama manusia manakala lagu Jembal, Lagu Kisah Barat menceritakan hubungan antara seseorang dengan orang lain di bumi dan juga di kayangan. Penulis juga menyatakan bahawa lagu di dalam Makyung menggambarkan alur kepercayaan.

Mohamed Ghouse Nasuruddin (1999) Dewan Budaya, Julai “Perkembangan Teater Makyung” ( hal 7-8 ) menceritakan tentang Makyung yang bermula sebagai teater istana dan berubah menjadi teater rakyat serta kesan ke atas corak dan struktur persembahannya. Beliau menerangkan corak persembahan yang diadakan di istana dan membandingkannya dengan Makyung rakyat dan Makyung yang dipentaskan di bandar.
Penulis juga menyentuh mengenai aspek simbolisme yang menjadi asas persembahan Makyung. Contohnya props yang mewakili pelbagai simbol dan aksi-aksi simbolik yang digunakan untuk menyampaikan maklumat.
Selain itu, Mohamed Ghouse Nasuruddin juga berbicara mengenai perubahan yang menggugat estetika persembahan Makyung, seperti keluar masuk watak, penempatan pemuzik dan penamatan persembahan.

Sabri Mohd. Zin, Dewan Budaya, Januari ( 1997) “Makyung Ritual dan Hiburan.
Dewan Bahasa dan Pustaka (hal 3-5). Beliau menerangkan dengan teliti konsep persembahan Makyung yang tertakluk kepada empat acara iaitu buka panggung, menghadap rebab, pecah cerita dan tutup panggung. Beliau bukan sahaja menerangkan maksud serta tujuannya diadakan bahkan mengaitkannya dari aspek hiburan dan ritual. Sesungguhnya semangat ghaib atau makhluk halus daripada perspektif Makyung adalah indeks atau lambang kuasa Allah yang Maha Besar. Pelakon yang memainkan watak Pakyung pertama dan Peran tua serta pemain rebab adalah anggota penting dalam persembahan Makyung. Oleh itu, bukan sebarang orang boleh melakonkan peranan ini bagi persembahan Makyung.

No comments:

Post a Comment